suria

Pengintipan Tidak Boleh Diterima - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Pengintipan bukan satu perkara yang boleh kita terima terutama dalam kalangan negara yang dianggap sahabat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi sebuah negara untuk mengintip 'perbualan' sebuah negara sahabat atau berjiran, tidak kira sama ada ia membabitkan perkara yang sensitif atau tidak.

"Saya tidak menuduh sesiapa dalam perkara ini, Amerika Syarikat atau sebagainya... tapi secara prinsipnya, pada dasarnya tidak boleh untuk mereka berbuat demikian (mengintip)," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata demikian semasa dirujuk mengenai laporan sebuah portal berita baru-baru ini mengenai dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden, yang mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia.

Pada Isnin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata kerajaan sangat bimbang mengenai laporan dakwaan pengintipan oleh beberapa negara terhadap Malaysia dan pihaknya akan memanggil pesuruhjaya tinggi Singapura untuk mendapatkian penjelasan berhubung dakwaan itu. - BERNAMA

Artikel Lain