suria

Kerja Baik Pulih Siling Hospital Serdang Bermula Esok - Subramaniam

SERDANG: Kerja memperkukuhkan struktur beberapa siling di Hospital Serdang yang berisiko tinggi untuk runtuh semula akan dimulakan pada Rabu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kerja membaik pulih itu merupakan rancangan jangka pendek sebelum kementerian membuat pemeriksaan secara menyeluruh.

"Perkara ini diputuskan selepas berbincang dengan pihak hospital, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsortium yang bertanggungjawab membina struktur hospital ini," katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekitar hospital itu di sini Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh akan dibuat bersama pihak berkaitan dan dijangka selesai dalam masa enam bulan secara berperingkat.

September lepas, beberapa kepingan siling di bilik pemulihan wad rawatan Neonatal (NICU) runtuh manakala pada Ogos tahun lepas tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita Jabatan Kecemasan Hospital itu cedera selepas 15 keping papan siling di jabatan itu runtuh.

Subramaniam berkata pemeriksaan menyeluruh akan merangkumi faktor runtuhan iaitu sistem pendingin hawa, cara pembinaan serta bentuk rekaan dan dianggar menelan belanja RM30 juta.

"Kami akan sentiasa membuat pemantauan supaya kejadian runtuhan tidak lagi berlaku demi keselamatan pengunjung hospital," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain