suria

Kerajaan Tidak Cadang Lanjut Tempoh Cuti Haji - Shahidan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh cuti haji daripada 40 hari kepada maksimum 50 hari kerana jumlah peruntukan cuti sedia ada sudah memadai buat penjawat awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, kemudahan cuti haji itu meliputi tempoh menunaikan fardu haji di Makkah, lima hari persediaan sebelum berlepas ke tanah suci dan lima hari rehat, setelah kembali.

"Cuti haji sedia ada untuk penjawat awam adalah memadai dan dasar sekarang dikekalkan," katanya ketika menjawab soalan asal Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Mohd Rafizi bertanyakan mengapa cuti ibadah haji untuk penjawat awam dihadkan kepada 40 hari sedangkan tempoh masa menunaikan haji di bawah kelolaan Lembaga Tabung Haji mencecah 45 hari.

Kepada soalan tambahan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang), Shahidan menjelaskan kerajaan menyokong dan menggalakkan swasta memberi cuti haji kepada pekerja swasta tapi mereka perlu faham bahawa cuti haji tidak perlu sehingga 40 hari.

"Perkara paling penting dalam menunaikan fardu haji ialah rukun haji dan rukun itu boleh disempurnakan dalam masa 10 hari hingga 12 hari sahaja.

"Cuti haji 40 hari ialah keistimewaan yang diberikan kerajaan untuk penjawat awam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain