suria

SPRM Kaji Parti Politik Sebar Mesej Anti-Rasuah

TUARAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Sabah akan mendekati semua parti politik di negeri ini mulai tahun depan bagi mendidik dan menyampaikan mesej membenci amalan rasuah.

Pengarahnya Jalil Jaaffar berkata ia merupakan antara pendekatan yang didapati berkesan dalam menyebarluaskan kefahaman masyarakat di semua peringkat mengenai keburukan amalan rasuah dan bahayanya terhadap kesejahteraan sosial dan keselamatan negara.

"Untuk mendidik masyarakat, kita akan bekerjasama dengan semua parti, tidak kira fahaman parti mereka. Hari ini kita buat (program) dengan Parti Bersatu Sabah (PBS Tamparuli). Tahun depan kita akan pergi kepada semua parti (politik) yang ada.

"Program ini (dengan parti-parti politik) sebenarnya dirangka SPRM di peringkat nasional juga. Jadi kita harapkan sokongan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Parti Politik, Majlis Penerangan Dari Hati Ke Hati bersama PBS di sini, Ahad.

Majlis penutupan program berkenaan disempurnakan Ketua Penerangan PBS Pusat yang juga Ketua PBS Bahagian Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Menurut Jalil langkah SPRM mendekati parti-parti politik ialah kerana kumpulan sasar berkenaan merupakan jurubicara utama dalam masyarakat dan dengan itu mesej antirasuah dapat disebar secara lebih meluas.

Terdahulu dalam ucapannya, Jalil menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan hal berkaitan rasuah kerana kesannya amat buruk serta merumitkan proses siasatan. "Sukar untuk melaksanakan tugas sekiranya apa-apa tidakan memerangi rasuah itu dikaitkan dengan konspirasi kotor politik kerajaan untuk menjatuhkan orang lain," katanya.

Justeru, beliau meminta anggota parti politik supaya bertegas menolak rasuah dan melaporkan sebarang aktiviti berkenaan kepada SPRM.

Jelas beliau, masyarakat tidak perlu bimbang untuk melaporkan gejala itu kerana identiti pemberi maklumat dan saksi dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Pemberi Maklumat 2010. -BERNAMA

Artikel Lain