suria

PKR Pinda Perlembagaan, Beri Lebih Suara Kepada Kepimpinan Sabah/Sarawak

SHAH ALAM: PKR pada Ahad meminda perlembagaannya buat kali keempat yang antara lain bertujuan memberi lebih suara dan kuasa kepada ketua parti dari Sabah dan Sarawak untuk membuat keputusan di peringkat pusat dan negeri.

Pindaan perlembagaan itu yang dibentangkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, diluluskan oleh 885 anggota perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional Khas PKR di sini.

Pindaan itu menetapkan satu daripada tiga jawatan naib presiden yang dilantik akan diperuntuk kepada Sabah atau Sarawak bagi menggalak penglibatan anggota-anggota dari kedua-dua negeri itu dalam proses membuat keputusan.

Pengerusi PKR dari Sabah dan Sarawak secara automatiknya juga memperoleh keanggotaan dalam biro politik parti menerusi pindaan itu, yang turut memperkasa fungsi wanita sehingga 30 peratus dalam menggubal dan membuat keputusan melibatkan kepentingan semua pihak.

Selain itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR perlu menubuh Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang terdiri daripada seorang pengerusi dan sekurang-kurangnya enam anggota jawatankuasa yang dilantik MPP bagi menjalan dan mengawal selia pemilihan parti.

Pindaan itu juga membolehkan timbalan presiden parti memenuhi jawatan presiden sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu berbanding jawatan tersebut dipangku sebelum ini.

MPP pula diberikan kuasa melantik seorang naib presiden dan anggota MPP untuk memenuhi kekosongan jawatan masing-masing dalam jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Pada masa sama, kongres itu menolak cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk mengecualikan had umur bagi jawatan Ketua AMK di peringkat pusat, negeri dan cabang.

Mengulas mengenai perkara itu, Timbalan presiden PKR Azmin Ali ketika berucap dalam kongres itu berkata cadangan sama sebelum ini pernah ditolak oleh MPP dan Biro politik parti. -BERNAMA

Artikel Lain