suria

Pencawang Elektrik SESB Di Tanjung Lipat Terbakar, Hampir 8,000 Pengguna Terjejas

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik kira-kira dua jam yang dialami kira-kira 8,000 pengguna di sekitar kawasan Likas, Kolombong, Lintas dan Iramanis berpunca pencawang elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Tg Lipat terbakar kira-kira 6.55 pagi Ahad.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Muhamad Nazri Pazil berkata pemeriksaan di tempat kejadian mendapati salah satu alatubah di pencawang itu mengalami kerosakan menyebabkannya terbakar.

Bekalan elektrik kepada semua pengguna di kawasan terlibat berjaya dipulihkan secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada 9 pagi, katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Katanya anggaran awal kerugian yang dialami akibat kebakaran itu ialah RM2 juta.

Muhamad Nazri berkata pasukan Teknikal SESB sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas alatubah berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan dan bentuk tindakan selanjutnya yang akan diambil.

Pengguna digalakkan menghubungi talian Hotline SESB di 15454 atau 088-515000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik dan semua aduan melalui saluran aduan rasmi 24 jam itu akan diambil tindakan segera, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain