suria

PAS Tolak Rayuan Karpal, Tetap Laksana Hudud

Abdul Hadi
Abdul Hadi
Abdul Hadi

SHAH ALAM: PAS tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada sekutunya dari DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, DAP tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan dan dasar parti itu walaupun wujudnya tahaluf siyasi antara mereka dalam pakatan pembangkang.

Tegasnya, asas hubungan politik yang dijalinkan bersama DAP tidak membataskan parti itu untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut.

"Hak dia bersuara, hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan.

"Itu tak ada dalam perjanjian dalam Pakatan Rakyat. Masing-masing dengan ideologi masing-masing.

"Kerjasama kita (Pakatan Rakyat) dalam perkara persamaan, dalam perkara perbezaan itu hak masing-masing," katanya pada sidang selepas majlis penutup Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Shah Alam di sini.

Beliau mengulas mengenai rayuan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh terhadap PAS agar tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Menurut Karpal, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Katanya DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebelum ini media melaporkan mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan untuk melaksanakan enakmen yang dibentuk pada tahun 1993 bila-bila masa sekiranya kerajaan negeri itu mahu menguatkuasakannya.

Artikel Lain