suria

Jangan Main Isu Perjanjian Penubuhan Malaysia - Wan Junaidi

KUCHING: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan mana-mana pihak termasuk anggota Parlimen supaya tidak membangkitkan isu perjanjian penubuhan Malaysia kerana ia boleh memecah-belahkan masyarakat di negara ini.

"Sekarang saya hanya memberi amaran supaya mereka mengetahui skop dan batasan...supaya jangan salah langkah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah Bersama Penduduk Kampung Santubong, kira-kira 30km dari sini, hari ini, Wan Junaidi yang merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata sebelum ini beberapa anggota Parlimen turut membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Rakyat.

Katanya sekiranya cubaan membangkitkan semula isu perjanjian itu tidak ditangani dengan sewajarnya ia boleh memecah-belahkan masyarakat di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata belum ada individu dikenakan tindakan tegas kerana membangkitkan isu supaya perjanjian yang membawa kepada penubuhan Malaysia itu dikaji semula.

Beliau berkata sehingga kini tiada mana-mana individu yang telah dipanggil untuk disiasat berhubung kenyataan mereka yang menyentuh perjanjian-perjanjian 18 Perkara Sarawak dan 20 Perkara Sabah itu. -BERNAMA

Artikel Lain