suria

Tribunal Perang KL Dapati Ada Kes Terhadap Israel Dan Bekas Jeneral Amos Yaron

KUALA LUMPUR: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) memutuskan bahawa wujud kes prima facie terhadap Israel dan Amos Yaron, jeneral tentera bersara Israel, atas tuduhan jenayah perang ke atas rakyat Palestin di Kem Sabra dan Shatila di Beirut pada 1982.

Presiden tribunal Tan Sri Lamin Mohd Yunus berkata berdasarkan keterangan saksi-saksi, pihaknya berpendirian bahawa Israel dan Yaron perlu menjawab tuduhan tersebut.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan oleh pihak pendakwaan, yang diketuai Profesor Gurdial Singh Nijar, di akhir kes pendakwaan di pejabat Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di sini Sabtu.

Dalam penghujahan itu, Gurdial menggesa tribunal itu memutuskan Israel bersalah mengikut Konvensyen Genosid Antarabangsa 1948 dan Piagam Jenayah Perang Kuala Lumpur selepas pihaknya telah menunjukkan bukti melampaui keraguan munasabah.

"Dengan cara ini, rintihan oleh rakyat Palestin untuk keadilan di Gaza, Tebing Barat dan diaspora yang telah lama diabaikan oleh masyarakat dunia akan akhirnya terbela.

"Ini akan membawa satu bentuk penyelesaian kepada bahagian pertama usaha mereka menuntut keadilan...batu loncatan untuk negara bertamaddun dalam dunia bertamaddun ini melaksanakan bidang kuasa sejagat," katanya.

Yaron didakwa terlibat secara langsung dalam kapasitinya sebagai jeneral yang memerintah pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila.

Kuorum hakim tribunal pada persidangan hari ini terdiri daripada Tunku Datuk Sofiah Jewa, Prof Salleh Buang, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, Datuk Mohd Saari Yusof, John Philpot dan Tunku Intan Mainura.

Pihak pembelaan diketuai oleh by Jason Kay Kit Leon.

Sejumlah 11 saksi memberi keterangan kepada tribunal itu dengan beberapa daripada mereka memberi keterangan menggunakan 'Skype' dari Gaza, London dan Lubnan.

Tribunal berkenaan akan mendengar penghujahan pihak pembelaan esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain