suria

Perwakilan PAS Mahu Tahu Siapa Akan Jadi PM Jika PR Memerintah

SHAH ALAM: Ketidakpastian mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai pakatan pembangkang timbul semula apabila seorang perwakilan PAS mempersoalkan siapa yang sebenarnya layak memikul tugas perdana menteri.

Firdaus Mohd Noor, perwakilan dari Johor, berkata PAS perlu membuat pendirian rasmi mengenai siapa bakal perdana menteri dalam Pakatan Rakyat jika berjaya merampas kuasa kerjaaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya ingin bertanya pendirian PAS mengenai siapakah yang merupakan 'pengerusi' dalam Pakatan Rakyat. Adakah PAS, PKR atau DAP?

"Satu struktur organisasi yang jelas perlu dibuat secara terbuka supaya mereka akan tahu siapa yang akan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-59 di sini, Sabtu.

Katanya, pengerusi itu juga akan berfungsi sebagai "jurucakap" untuk gabungan itu di peringkat nasional dan negeri bagi mengelakkan kenyataan bercanggah dikeluarkan.

"Ramai pemimpin berlumba-lumba antara satu sama lain untuk membuat kenyataan, yang akhirnya mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat," katanya.

Ini bukan kali pertama panggilan sebegini dibuat kerana perbincangan dalam PAS telah dilakukan dan beberapa anggota kanan tidak memihak kepada Anwar sebagai pemimpin.

Muktamar 2009 juga menyaksikan beberapa wakil PAS secara terbuka mencadangkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri jika pembangkang merampas kuasa dalam pilihan raya umum.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei tahun ini, walaupun DAP telah memenangi paling banyak kerusi, mereka telah bersetuju untuk mengekalkan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Firdaus juga mencadangkan supaya doktrin pemisahan kuasa diperkenalkan supaya pemimpin yang dilantik boleh memberi tumpuan kepada satu tugas sahaja.

Beliau berkata parti itu perlu belajar pengajaran apabila ia kehilangan Terengganu pada pilihan raya umum tahun 2008 kerana menteri besar, Abdul Hadi juga merupakan presiden parti.

"Di Terengganu, beliau menjadi menteri besar, presiden parti, dan juga pesuruhjaya PAS negeri.

"Oleh kerana tugas-tugas yang bertindih, PAS tumbang di Terengganu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain