suria

Pemilihan PAS: Keputusan Dijangka 2 Petang

Asmuni Awi
Asmuni Awi
Asmuni Awi

SHAH ALAM: Keputusan pemilihan PAS yang berlangsung pada Jumaat dijangka akan diketahui seawal pukul 2 petang Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, kelewatan itu berpunca daripada pembatalan pengundian bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ekoran berlakunya kesilapan teknikal pada kertas undi.

Sehubungan itu Jawatankuasa Pemilihan memutuskan supaya pengundian semula bagi jawatan tersebut diadakan pada pagi Sabtu.

Bagaimanapun pemilihan bagi dua jawatan yang menyaksikan pertandingan iaitu timbalan dan naib presiden dijalankan pada Jumaat seperti yang dijadualkan.

Pemilihan kali ini menyaksikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding.

Sebelum ini keputusan penuh pemilihan barisan kepimpinan baharu PAS Pusat dijadual untuk diumumkan pagi Sabtu sebelum sidang Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-59 disambung.

Bagaimanapun Asmuni berkata, sidang muktamar hanya akan disambung dengan sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden kira-kira pukul 10 pagi selepas pengundian jawatan AJK PAS Pusat selesai dalam tempoh dua jam.

Sementara itu menurut sumber dalam PAS, jawatankuasa pemilihan mengambil keputusan untuk menangguhkan proses pengiraan undi bagi jawatan timbalan dan naib presiden walaupun pengundian selesai diadakan lewat petang Jumaat.

Katanya, penangguhan itu bagi mengelakkan berlakunya kebocoran maklumat pemenang bagi dua jawatan utama tersebut.

"Kalau keputusan bocor, jawatankuasa pemilihan bimbang ia akan mempengaruhi perwakilan dalam memilihan barisan AJK," katanya ringkas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain