suria

PAS Lulus Usul Demo GST, TPPA

Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali
Khairuddin Aman Razali

SHAH ALAM: Muktamar Tahunan PAS ke-59 meluluskan usul untuk mengadakan demonstrasi berskala besar bagi membantah keputusan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketika membahaskan usul berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat perlu menolak pelaksanaan cukai berkenaan kerana ia bertentangan prinsip percukaian Islam.

"Perlaksanakan TPPA merupakan penjajahan ekonomi cara baru apabila manusia menguasai manusia.

"Ia juga sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara cukai. Cukai tidak boleh dikenakan kepada semua orang tanpa pengecualian," katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati di sini, Sabtu.

Terdahulu, usul untuk mengadakan bantahan besar-besaran itu dicadangkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mewakili Jawatankuasa PAS Pusat.

"Muktamar mencadangkan agar satu himpunan rakyat diadakan secara besar-besaran dengan pengembelingan semua parti politik Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak bagi membongkar segala penyelewengan sebagaimana laporan audit.

"Selain itu juga kita membantah dan mendesak kerajaan menarik balik hasrat dan keputusan melaksanakan GST dan TPPA," katanya.

Menerusi Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan melaksanakan GST bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurut Najib GST bukan cukai tambahan baru, sebaliknya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama yang perlu dilaksanakan bagi manfaat seluruh rakyat.

GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas seperti beras, gula garam, tepung, minyak masak serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

GST juga katanya tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan disediakan kerajaan seperti pengeluaran passport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah serta perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya di samping perkhidmatan pendidikan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain