suria

Kerjasama Umno-MCA-MIC Tidak Ikut Islam

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM: Hubungan politik yang diamalkan Umno bersama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) bukan kerjasama yang digariskan oleh Islam.

Sebaliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara partinya dengan DAP dan PKR menepati konsep hubungan bersama orang bukan Islam yang sebenar

"Kaedah Umno tidak menepati konsep tahaluf siyasi. Kita akui ada titik persamaan dan titik perbezaan.

"Dalam titik perbezaan, kita tak boleh bertolak ansur. Contohnya isu halal dan haram," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-59 di Stadium Melawati di sini, Sabtu.

Menurut Abdul Hadi, Umno gagal memainkan peranannya dalam kerjasama mereka dalam BN apabila mengabaikan konsep sebenar kerjasama politik yang di bolehkan dalam Islam.

"Apa yang dibuat oleh Umno, kita lihat terdapat kecelaruan dalam soal halal dan haram sehingga mencelarukan orang Islam dan mengelirukan bukan Islam," katanya.

Isu tahaluf siyasi antara PAS dalam pakatan pembangkang kembali menjadi isu hangat apabila perwakilan PAS Pulau Pinang mempersoalkan hubungan antara parti itu dengan kerajaan pimpinan DAP di negeri berkenaan.

Kemelut yang melanda PAS dan DAP di Pulau Pinang memaksa pembahas negeri itu, Mohd Nor Haron menggunakan pentas muktamar sebagai medan untuk menyatakan situasi sebenar yang membelenggu pimpinan PAS tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain