suria

Tiada Salah Laku Dalam Pembayaran RM1.6 Juta Artis K-Pop - PAC

Ahmad Shabery ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) berhubung isu Himpunan Jutaan Belia 2012 membabitkan pembayaran artis K-Pop di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA
Ahmad Shabery ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) berhubung isu Himpunan Jutaan Belia 2012 membabitkan pembayaran artis K-Pop di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA
Ahmad Shabery ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) berhubung isu Himpunan Jutaan Belia 2012 membabitkan pembayaran artis K-Pop di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis mendapati tiada sebarang salah laku dalam isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tahun lepas.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini kerana segala pembayaran semasa sambutan Hari Belia 2012 itu mengikut prosedur pembayaran.

"PAC berpuas hati dengan penjelasan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek," katanya selepas Ahmad Shabery menemui jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bayaran itu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, di bilik jawatankuasa itu di Parlimen, di sini.

Ahmad Shabery yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia secara sukarela berjumpa dengan PAC yang dianggotai Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan penjelasan dan bukannya dipanggil oleh PAC bagi memberi keterangan.

"PAC tidak bercadang untuk memanggil Ahmad Shabery kerana penjelasan yang diberikan sudah memadai," kata Nur Jazlan.

Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu tidak mendapati sebarang salah laku dalam isu pembayaran K-Pop, cuma berlaku salah faham mengenai prosedur pembayaran.

"Saya rasa, jawapan daripada menteri memuaskan. Pada pandangan saya dan jawatankuasa saya yang terdiri daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, beliau (Ahmad Shabery) telah memberikan (penjelasan) secara keseluruhan mengenai dasar dan proses Hari Belia yang dijalankan," katanya.

Pengerusi PAC itu berkata bajet yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery untuk Hari Belia 2012 dahulu amat sesuai dengan dasar kerajaan yang mahukan setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberi pulangan sekali ganda atau lebih.

"Sejumlah RM1.6 juta telah dikeluarkan untuk membawa masuk tiga artis K-Pop dari Korea Selatan. Daripada jumlah itu sebanyak RM900,000 merupakan bayaran untuk artis dan bakinya merupakan kos dalam bentuk cukai, pengangkutan, penginapan yang diuruskan syarikat promoter," kata Nur Jazlan.

Masalahnya ramai pihak hanya melihat kepada skop yang sensasi iaitu artis K-Pop itu sendiri sedangkan kumpulan artis itu hanya menjadi modal tarikan untuk mendatangkan keuntungan yang lebih besar pada Hari Belia itu sendiri yang disifatkan oleh Nur Jazlan sebagai berjaya dan mencapai matlamat.

"PAC akan menyediakan perincian mengenai isu pembayaran artis K-Pop dan Hari Belia 2012 melalui satu laporan khas yang akan dibentangkan kepada umum selewat-lewatnya awal tahun depan," kata Nur Jazlan.

Sementara itu Ahmad Shabery pada sidang akhbar lain, berkata kerana daya tarikan K-Pop, Hari Belia 2012 berjaya memberi pulangan sebanyak RM140 juta.

Ahmad Shabery berkata artis-artis K-Pop yang dipanggil telah menyemarakkan sambutan Hari Belia 2012 sehingga mendapat tajaan yang besar daripada pihak swasta.

Ini termasuk ada tajaan yang memberikan nilai pulangan sehingga RM26 juta yang dianjurkan oleh Telekom Malaysia dan ada pula tajaan yang memberikan pulangan RM1.9 juta atau keuntungan dalam bentuk tunai setinggi RM2.3 juta tetapi keuntungan sebenar datang dalam bentuk beransur-ansur, katanya.

"Saya beritahu mereka, jangan melihat tentang isu K-Pop secara berasingan, acara yang dibuat ialah hala tuju belia secara besar. K-Pop hanya menjadi satu daripada 500 acara yang dibuat sempena Hari Belia itu dan telah berjaya menarik lebih daripada 2.4 juta pengunjung," katanya.

Ahmad Shabery berkata tiga kumpulan K-Pop yang dipanggil itu merupakan antara 10 kumpulan paling popular di Korea Selatan tetapi untuk mendapatkan tempahan, sejumlah deposit dari RM900,000 perlu dibayar.

Beliau menjelaskan isu yang dipolitikkan ialah isu deposit pendahuluan yang menggunakan duit kerajaan tetapi secara keseluruhan, program artis K-Pop itu berjaya mendapat tajaan daripada pihak swasta berjumlah RM2.3 juta.

"Kalau Brazil ada Karnival Rio, Jerman ada Oktober Fest, biarlah Malaysia mempunyai satu hari yang bersifat ikonik iaitu festival Hari Belia itu sendiri," kata Ahmad Shabery. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain