suria

'Tahaluf Siyasi' PAS Dengan PKR Dan DAP Akan Disemak Semula - Harun Taib

SHAH ALAM: Konsep "tahaluf siyasi" (kerjasama politik) antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan disemak semula dari semasa ke semasa, kata Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib.

Menegaskan perkara itu dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama ke-52 di sini, hari ini, beliau berkata semakan semula kerjasama itu bagi membolehkan PAS menilai setakat mana perkara berkaitan Islam boleh dilaksanakan di negeri yang di perintah parti pakatan itu.

"Perjuangan kita amat berbeza dengan parti yang lain. Kita hendak menilai apakah keuntungan (kerjasama politik) secara keseluruhan," katanya.

Selain 600 anggota perwakilan, Timbalan Ketua Dewan Datuk Ahmad Yakob, yang juga Menteri Besar Kelantan, menghadiri muktamar bertemakan 'Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan'.

Sementara itu, dalam ucaptamanya, Harun mempersoalkan apakah kejayaan yang diraih PAS hasil kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Persoalan yang mesti dilontarkan apakah kita telah berjaya atau sekurang-kurangnya berusaha menobatkan syariah Islam dalam pentadbiran dan undang-undang menerusi kerjasama dengan Pakatan Rakyat?" soalnya. Teks ucaptama beliau dibacakan oleh Ahmad. Harun turut membidas rakan sekutu parti, DAP, yang mencadangkan agar PAS dibatalkan pendaftarannya kerana berasaskan agama. "Saya juga ingin menegaskan kepada pemimpin Pakatan Rakyat, yang mencadangkan supaya pendaftaran PAS dibatalkan kerana berasaskan agama, bahawa PAS adalah parti yang paling sesuai dengan keadaan semasa dan masyarakat berbilang kaum dan agama kerana Islam diturunkan Allah S.W.T kepada manusia yang berbilang bangsa dan agama. "Kerana itu saya menyeru pemimpin Pakatan Rakyat agar menerima Islam sebagai dasar pemerintahan negara. Tahaluf siyasi bertujuan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam dan menjelaskan bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik untuk masalah manusia," katanya.

Selain itu, Harun berkata teguran dan nasihat daripada kepimpinan Dewan Ulama berkaitan kepimpinan ulama tidak seharusnya dilihat sebagai pihak yang gila dan tamakkan kuasa, sebaliknya bertujuan memantapkan perjuangan parti. "Ada tuduhan bahawa ulama tamak dan gila kuasa. Kami tidak gila dan tamak kuasa, tapi PAS adalah parti Islam... maka siapa yang memahami dasar parti selain daripada ulama? "Ia adalah satu penegasan bagi apa yang ada di dalam perlembagaan PAS yang meletakkan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai sumber rujukan. Keempat-empat sumber ini hanya dihuraikan dan dijelaskan oleh para alim ulama," katanya.

Harun berkata kemasukan anggota baharu khususnya daripada serpihan Umno ke dalam PAS turut memberi kesan terhadap konsep kepimpinan ulama yang diamalkan parti.

"Ada serpihan ahli Umno yang masuk PAS dan selepas itu nak mempertikaikan dasar PAS... kenapa pemimpin PAS mesti ulama? Dan ini adalah satu sejarah buat PAS," katanya.

Pemilihan bagi Dewan Ulama PAS, menyaksikan tiga jawatan tertinggi sayap itu mengekalkan penyandangnya iaitu Harun sebagai Ketua Dewan, Ahmad sebagai timbalan dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai Naib Ketua apabila masing-masing tidak dicabar. Keputusan pemilihan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain