suria

PAS Bukan 'Penumpang' Dalam Pakatan - Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa parti itu bukan hanya 'penumpang' dalam kerjasama politik yang dijalinkan bersama pakatan pembangkang.

Malah tegasnya, parti komponen dalam Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga mempunyai kedudukan yang setaraf tanpa didominasi oleh mana-mana parti.

"PAS akan terus menjadi rakan aktif dalam Pakatan Rakyat.

"Ingatlah kita bukan penumpang semata-mata, rakan-rakan kita juga bukan penumpang," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS KE-59 di Stadium Melawati di sini, Jumaat.

Selain itu Abdul Hadi menyatakan bahawa kesemua komponen pembangkang mempunyai peranan yang sama dalam menentukan hala tuju kerjasama politik yang dijalinkan.

"Semua parti-parti dalam pakatan adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap yang lebih maju dan seterusnya memikul amanah yang berat ini," katanya.

Penegasan Abdul Hadi dilihat sebagai pendirian PAS mengenai kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang selepas Dewan Ulama dan Dewan Pemuda masing-masing meluluskan usul untuk mengkaji 'tahaluf siyasi' dalam pakatan pembangkang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain