suria

MT Umno Setuju Profesional, NGO Sumbang Input Dalam Usul

Hishammuddin hadir pada Mesyuarat Post Kabinet Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, Jumaat. Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad (kiri). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menjadikan Umno lebih inklusif, Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju agar golongan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan Melayu memberi input dalam usul yang akan dibentang pada perhimpunan agung parti itu bulan depan.

Naib Presiden Umno dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dipersetujui oleh MT dalam mesyuaratnya, malam Khamis.

"NGO-NGO dan pihak-pihak yang ingin bersama-sama dengan kita, boleh kita sediakan ruang, peluang dan platform melalui mesyuarat meja bulat dan kaedah-kaedah tertentu untuk mendapatkan input bagi setiap kluster usul.

"Ia bagi memastikan usul dapat disediakan dengan lebih inklusif," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pertahanan di sini Jumaat.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul perhimpunan berkata perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno itu kelak menjurus kepada keperluan dan tuntutan serta kebimbangan orang Melayu dan umat Islam, bukan sekadar tuntutan anggota Umno semata-mata.

"Orang di luar sana ingin melihat Umno perjuangkan perkara-perkara yang dekat dengan hati, jiwa dan sanubari mereka dalam konteks ekonomi, pendidikan dan agama," kata Hishammuddin.

Beliau turut meminta Setiausaha Badan Perhubungan Negeri memberikan input serta senarai jurucakap bagi tiga usul iaitu ekonomi, agama dan pendidikan yang akan dibincangkan semasa perhimpunan agung parti itu 2 hingga 7 Disember. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain