suria

Maskargo Terbangkan Beruang Panda Gergasi Dari China April Depan

SEPANG: MASKargo Sdn Bhd (MASkargo), selaku penerbangan rasmi membawa sepasang beruang panda gergasi dari China, Fu Wa dan Feng Yi, akan menerbangkan haiwan itu dari Chengdu, China ke Malaysia pada April tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maskargo Mohd Yunus Idris berkata penerbangan yang mengambil masa kira-kira enam jam itu akan menggunakan kapal terbang Airbus A330-200 yang berkeupayaan membawa muatan maksimum sehingga 70 tan.

"Bermula kini sehingga akhir suku pertama tahun depan, kita akan membuat pelbagai persiapan untuk menerima kehadiran beruang panda," katanya pada sidang akhbar selepas pelantikan MASkargo sebagai syarikat penerbangan rasmi Giant Panda Malaysia daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di MASKargo Animal Hotel di sini, Jumaat.

Program kerjasama itu merupakan simbol ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan diraikan pada tahun 2014.

Pasangan panda gergasi dinamakan Fu Wa dan Feng Yi oleh Kerajaan Republik China itu dijangka bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China tetapi juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan hidupan liar.

Sepanjang perjalanan, Mohd Yunus berkata suhu kabin akan dikawal antara 12 hingga 15 darjah celcius selaras dengan suhu habitat semula jadi beruang panda di China.

Pegawai-pegawai veterinar dari China dan Malaysia akan turut serta dalam penerbangan itu untuk memberi khidmat nasihat, kata Mohd Yunus.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof berkata projek pembinaan Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi di Zoo Negara kini sudah 84 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Antara persediaan yang dilakukan termasuklah penyediaan latihan kakitangan dalam pengurusan beruang panda, bekalan buluh yang mencukupi dan pembinaan eksibit khas yang selamat, kata beliau.

"Kita amat yakin dengan kemudahan dan kepakaran dimiliki MASkargo serta pengalaman hampir 40 tahun dalam bidang pengangkutan haiwan domestik atau hidupan liar dari serata dunia," kata Zoal Azha. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain