suria

Komuniti Felda Perlu Berada Di Barisan Hadapan Dalam Menuju Negara Maju - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Konvensyen Generasi Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, Khamis. Turut hadir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (kanan), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim (kiri) dan Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad (tiga, kiri). - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Felda perlu berada di barisan hadapan dalam menuju ke arah negara maju.

Sehubungan itu, katanya generasi Felda akan meneruskan cita-cita itu bagi memastikan hasrat kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tercapai.

"Perjalanan Felda selama 57 tahun dahulu belum berakhir lagi, ia akan disambung dan diteruskan kerana cita-cita kita bukan lagi sebagai sebuah negara yang mempunyai cita-cita yang sederhana.

"Tetapi kita mengimpikan satu kisah di mana satu hari nanti kita akan menjadi sebuah negara maju," katanya ketika merasmikan Konvensyen Generasi Felda 2013 di sini Khamis.

Najib berkata kini Felda merupakan satu badan konglomerat antara yang terbesar di dunia dan banyak jasanya kepada negara.

"Kalau dahulu transformasi pada Felda matlamatnya sekadar untuk membasmi kemiskinan, hari ini, kita bercita-cita untuk mengisi impian menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Najib berkata Felda kini juga mengalami transformasi dari segi membangunkan modal insan, minda, keintelektualan dan pengetahuan untuk lebih berjaya.

Beliau berkata kejayaan Felda dalam proses reformasi tanah juga sangat membanggakan sehingga tiada negara lain mampu mengikut jejak langkah Felda.

"Kejayaan Felda dalam proses reformasi tanah bunyinya senang, kalau senang, kenapa negara lain tidak boleh mengikut jejak langkah Felda dalam proses reformasi ini," katanya.

Beliau berkata Felda yang dahulunya sebuah badan yang membangunkan tanah terpaksa bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan dan badan-badan luar, tetapi hari ini Felda mempunyai dana yang besar dan mungkin antara badan yang terkaya di negara ini.

"Mana mungkin kita beri durian runtuh RM15,000 dahulu sampaikan orang di luar Felda kata alangkah untungnya kalau saya jadi peneroka, tetapi malangnya kita dah tutup permohonan untuk jadi peneroka," katanya.

Najib berkata dengan sokongan dan dukungan yang diterima daripada masyarakat Felda, kerajaan berazam untuk terus membangunkan komuniti Felda.

"Banyak lagi projek perumahan untuk generasi kedua Felda akan dibincangkan, banyak lagi peluang kemahiran akan disediakan, jangan hanya lulus setakat SPM sahaja.

"Mereka hendaklah diberi peluang latihan, kalau tak dapat masuk institusi pengajian tinggi awam, sekurang-kurangnya masuklah ke sekolah vokasional, politeknik atau Giat Mara.

"Felda boleh sediakan banyak program maka generasi kedua akan menjadi generasi yang mencerminkan transformasi kepada negara dan masyarakat," katanya.

Kira-kira 1,300 peserta yang terdiri daripada wakil peneroka, Majlis Belia Felda dan pegawai seranta hadir ke konvensyen dua hari itu yang bertemakan 'Bersama Merealisasikan Transformasi' bertujuan memberi maklumat sebenar hasrat kepimpinan negara berkaitan transformasi dari segenap aspek. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain