suria

Polis Sita Barangan Bernilai RM81.7 Juta Daripada Pengedar Dadah Tahun Ini

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3.4 kg dengan nilai lebih kurang RM510,000 yang disembunyikan di dalam 160 unit pengecas bateri telefon bimbit di Bukit Aman, Kuala Lumpur, Rabu. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menyita kereta dan harta bernilai RM81.7 juta milik pengedar dadah tempatan dan asing dalam operasi sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata barangan itu disita daripada 7,844 kes pengedaran dadah di negara ini.

"Jika dibanding tempoh sama tahun lepas, ia merupakan peningkatan sebanyak 66 peratus daripada nilai barangan yang disita iaitu RM49.29 juta," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata harta yang disita itu merangkumi wang tunai yang dirampas semasa serbuan dan tangkapan selain yang disimpan dalam akaun bank.

Barangan lain membabitkan rumah, kereta, tanah dan barangan berharga yang dipercayai diperoleh melalui hasil kegiatan pengedaran dadah, katanya.

Kira-kira 10 peratus daripada jumlah penyitaan itu adalah daripada sindiket dadah rakyat asing.

Noor Rashid juga memberitahu pihaknya membongkar kegiatan bekas pengedar dadah rakyat Nigeria yang menjadikan isterinya, seorang wanita tempatan sebagai penyambung legasi dalam 'perniagaan' dadahnya di sini pada 18 November lepas.

Siasatan polis mendapati lelaki itu bertindak sebagai perancang untuk menyeludup dadah dari negaranya ke Malaysia manakala isterinya berperanan dalam mencari keldai dadah.

"Kegiatan suami isteri itu dibongkar selepas polis menyerbu dan menahan isterinya yang berusia 32 tahun dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki Nigeria berumur antara 27 dan 32 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Ipoh pada 11.45 malam Isnin lepas.

"Ketika serbuan, kesemua mereka sedang memunggah keluar dua kotak yang mengandungi 160 unit pengecas bateri talefon bimbit yang didalamnya tersembunyi dadah jenis syabu seberat 3.4kg bernilai RM510,000," katanya.

Noor Rashid berkata dua kotak itu diseludup masuk dan keluar ke negara ini melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran barang antarabangsa.

"Hasil siasatan lanjut ke atas wanita tempatan itu mendapati suaminya pernah menjdi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di negara ini.

"Oleh kerana dia gagal didakwa di mahkamah ketika itu, dia diusir ke negara asalnya selepas menjalani tempoh pemulihan dadah di negara ini," katanya.

Menurutnya kes itu antara lima cubaan menyeludup dadah yang berjaya dtumpas pihaknya dalam tempoh empat hari bermula 15 Nov lepas melibatkan nilai dadah berjumlah RM1.8 juta. - BERNAMA

Artikel Lain