suria

Polis P.Pinang Tahan Tujuh Orang, Rampas Dadah Bernilai RM480,000

GEORGE TOWN: Polis memberkas tujuh suspek dan merampas dadah bernilai RM480,000 serta sepucuk pistol bersama 50 butir peluru dalam dua serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Perak, Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan yang dilakukan serentak pada pukul 1 petang di Bukit Tambun dan Simpang Ampat itu, polis juga merampas sebuah kereta, wang tunai berjumlah RM215,000 serta barangan kemas bernilai RM260,000.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Tambun, polis memberkas tiga lelaki dan di Simpang Ampat pula, empat suspek termasuk dua wanita ditahan, katanya dalam sidang media, di sini Khamis.

Katanya dadah yang dirampas membabitkan 1.5 kilogram heroin, 1.071 kg syabu dan 60 biji pil eramin 5.

Kesemua suspek yang berusia 25 hingga 52 tahun itu kini direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya.

Katanya kes senjata api pula disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika disabitkan.

Abdul Rahim berkata polis juga menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal pada pukul 10 pagi Khamis.

Dalam serbuan itu polis merampas 67 gram dadah jenis ganja, selaras senapang angin, 370 biji bebola besi dan pisau belati serta pisau panjang daripada suspek, katanya.

Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan 1958. - BERNAMA

Artikel Lain