suria

Polis Kelantan Tahan Lapan Suspek, Rampas Dua Pucuk Pistol Dan Peluru

KOTA BAHARU: Polis menahan lapan orang termasuk seorang wanita warga Indonesia dan merampas dua pucuk pistol dan 11 butir peluru dalam Ops Cantas Khas di Tumpat, Rabu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat telah mengekori sebuah kereta dinaiki lima suspek dalam keadaan mencurigakan dan menahan kereta itu di sekatan jalan raya di Kampung Neting, Tumpat, pada kira-kira 9.15 malam.

"Kita menerima maklumat daripada orang ramai bahawa terdapat satu kumpulan disyaki menyeludup senjata api dari seberang. Susulan itu, polis telah membuat sekatan jalan raya di beberapa tempat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini Khamis.

Beliau berkata daripada pemeriksaan awal di dalam kereta berkenaan, polis menemui sebilah parang yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

"Hasil siasatan terperinci dan soal siasat kemudiannya, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, Tumpat dan menahan tiga lelaki," katanya.

Pemeriksaan lanjut menemui satu tin biskut yang disembunyikan di dalam sebuah longkang di kawasan semak berhampiran rumah berkenaan dan di dalam tin tersebut terdapat sepucuk pistol jenis "kuba", sepucuk pistol tanpa model bersama kelopak peluru dan 11 butir peluru hidup, katanya.

Jalaluddin berkata semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya semua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis.

Sementara itu, Jalaluddin berkata maklumat daripada orang awam merupakan langkah paling penting dan berkesan untuk membanteras penyeludupan senjata api di sempadan.

"Kita juga membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar dan masuk ke negeri ini dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi selain mengenal pasti suspek dan kumpulan yang disyaki," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain