suria

Penculikan di Semporna: Keluarga Warga Taiwan Ambil Langkah Berhati-Hati

TAWAU: Keluarga pasangan warga Taiwan yang ditembak mati dan diculik di Resort Pulau Pom Pom mahu mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Richard Chang, abang sulung kepada mangsa culik, Chang An Wei, yang dilarikan oleh kumpulan bersenjata Filipina berkata tumpuan utama keluarga mereka ialah mahu menguruskan upacara pembakaran mayat abang iparnya, Hsu Lin Min yang mati ditembak.

"Tumpuan utama kami ialah majlis pengebumian dan apa yang kami mahu lakukan adalah menyelesaikan satu persatu perkara dalam satu-satu masa dan tidak mahu tegesa-gesa," katanya.

Tanpa merujuk kepada kenyataan pihak berkuasa Taiwan mengenai panggilan telefon yang diterima mengenai wang tebusan, Richard berkata mereka tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Kami tahu pasti ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan sekiranya kami tergesa-gesa, kita pasti akan ditipu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan seperti mereka," katanya.

Pada 15 November lalu, Hsu ditembak mati di vila atas air, lokasi yang sama di mana Chang turut diculik.

Chang dipercayai disembunyikan di sebuah pulau di Tawi Tawi oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf yang hidup dengan menjalankan aktiviti meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa.

Artikel Lain