suria

Narkotik Perak Sita Harta RM1.2 Juta Selepas Tahan Lelaki Proses Heroin

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner Roslan Abdul Wahid menunjukkan sekeping cek bernilai lebih RM50 ribu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh pada Rabu. Pada 16 November Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Perak telah menangkap seorang lelaki dan merampas serta menyita sejumlah wang tunai dan beberapa buah kenderaan serta dua buah rumah milik suspek yang dianggarkan berjumlah RM1,216,806.33. -Foto BERNAMA

IPOH: Polis Perak mencatatkan penyitaan harta terbesar bernilai RM1.2 juta apabila menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang terlibat memproses dan menjual dadah jenis heroin bernilai RM4 juta secara sendiri sejak 10 bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri ACP Roslan Abdul Wahid berkata lelaki yang telah berkahwin itu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, di rumahnya di Kampung Rapat di sini pada pukul 2.30 petang, 16 November lepas.

"Siasatan kita mendapati, lelaki itu kerap berpindah dari rumah sewanya untuk memproses dadah, jika rumah yang disewa itu telah diketahui atau disyaki oleh orang, dia akan menyewa rumah yang lain. Dia juga kerap menukar kereta untuk kegiatan menjual dadah, ini modus operandinya," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata selain wang tunai RM190,200, polis dari jabatan itu turut menyita tujuh buah kenderaan pelbagai jenis seperti Mercedes Benz, Toyota Caldina dan Honda Odyssey di samping dua buah rumah jenis teres dan flat.

Maklumat dan soal siasat juga mendapati suspek mengaku memproses dadah dua kali sebulan, dengan berat 9.071kg bernilai hampir RM200,000 bagi sekali proses. "Lelaki itu meraih keuntungan bersih sebanyak RM40,000 bagi 18.14kg heroin apabila dadah itu dijual selain turut terlibat mengedar dadah jenis syabu yang diperoleh di beberapa kawasan, " kata Roslan.

Katanya dadah terbabit didapati dijual di luar Perak dalam jumlah besar yang biasanya mendapat permintaan 'big time drug traffickers' dan bahan yang digunakan dalam kegiatan haram itu diperoleh dari negara jiran.

Beliau berkata lelaki itu mengaku bahawa kegiatan memproses dan penjualan dadah jenis heroin itu dijalankannya secara sendirian tanpa penglibatan sebarang sindiket atau memperdayakan pihak lain kerana khuatir ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Nilaian harta yang disita itu termasuk wang simpanan berjumlah RM6,606 dalam sebuah akaun bank yang dibekukan pada 18 Nov serta wang tunai RM140,000 yang dikeluarkan oleh isterinya di Gopeng semalam, katanya.

"Individu ini tidak menghisap rokok dan mengambil dadah, objektifnya tidak lain hanya untuk mengaut keuntungan. Dia menyediakan heroin dan dapat menjual kerana ada permintaan, kita percaya dalam beberapa bulan lelaki ini mendapat hampir RM1 juta lebih hasil dadah yang diprosesnya," katanya.

Roslan berkata siasatan mendapati sebahagian kenderaan mewah yang disita adalah milik dan untuk kegunaan lelaki itu selain ada beberapa kereta yang belum ditukarkan nama.

Siasatan polis setakat ini mendapati si isteri tidak terlibat atau mengetahui kegiatan suaminya, katanya.

Polis, katanya, juga akan menyiasat secara terperinci selepas mempercayai subjek turut mempunyai harta lain yang bernilai selain terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan membuka beberapa perniagaan termasuk perniagaan sukan lasak motocross.

Roslan berkata penyitaan harta berhubung kes itu adalah yang terbesar daripada seorang suspek oleh polis narkotik di Perak dalam tempoh dua tahun ini.

"Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan lain itu akan ditahan selama 60 hari, sebelum tamat tempoh itu kes akan dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dilihat semula dan akan memutuskan sama ada subjek akan ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun atau dikenakan sekatan dengan melihat sejauh mana penglibatannya dalam dadah," katanya.

Beliau berkata penahanan lelaki itu susulan penangkapan seorang lelaki lain bersama-sama seorang wanita serta penemuan bahan untuk diproses menjadi dadah heroin di satu unit apartment di Gunung Semanggol, Bagan Serai pada pertengahan tahun ini.

"Pada pertengahan tahun ini kita menjumpai bahan untuk diproses tetapi premis itu tidak dijadikan makmal pemprosesan, dan daripada tangkapan dua individu itu kemudiannya kita perincikan siasatan untuk mengesan siapa dalang yang bertanggungjawab memproses dadah berdasarkan maklumat yang ada," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain