suria

Lebih 12,000 Usahawan India Terima Pinjaman Tekun Setakat Oktober - Shahidan

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,316 usahawan berketurunan India menerima pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) membabitkan jumlah keseluruhan RM153.9 juta setakat Oktober lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata selain itu sebanyak 7,714 orang menerima pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM47.5 juta bagi tempoh sama.

"Kerajaan sentiasa prihatin kepada masyarakat India di negara ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta inisiatif untuk membantu mereka terutamanya golongan miskin.

"Selain kemudahan pinjaman itu, kerajaan juga membantu mereka memohon kad pengenalan melalui program 'MyDaftar' iaitu sepanjang 2011 hingga 2012, sebanyak 6,590 permohonan kad pengenalan mereka telah diluluskan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini Khamis.

Mengulas isu lain, Shahidan menyifatkan tuduhan pihak pembangkang berhubung isu 'blackout' dan 40,000 pengundi Bangladesh yang dibawa masuk semasa pilihan raya umum ke-13 sebagai penganiayaan minda rakyat.

"Pihak pembangkang juga gagal untuk buktikan ada pengundi hantu... malah mereka menuduh saya memberi nasihatsalah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kononnya 40,000 pengundi Bangladesh itu mengundi bersama dengan polis dan tentera.

"Kami sudah 'check' dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung perkara ini dan mendapati tiada seorang pun warga Bangladesh membuat demikian," katanya.

Menurut Shahidan dalam tempoh 10 tahun lepas hanya 12 warga Bangladesh menjadi rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain