suria

Kerajaan Selangor Akan Gubal Undang-Undang Tangani Masalah Mesin Judi

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menggubal undang-undang lebih ketat dalam menangani masalah mesin judi menggunakan komputer terutama di kafe siber, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Datuk Teng Chang Khim.

Katanya antara langkah yang dipertimbang ialah komputer yang disita tidak boleh dikembalikan selain memastikan mereka yang memohon lesen kafe siber menggunakan perisian khas bagi tujuan pemantauan.

Setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya boleh menyita komputer yang diguna untuk perjudian di kafe siber dan pengusaha boleh mendapatkan semula komputer terbabit dengan hanya membayar kompaun maksimum RM1,000, katanya.

Beliau menjawab soalan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) di persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini, yang ingin tahu tindakan konkrit PBT dalam menangani masalah itu memandangkan ada kafe siber kembali beroperasi tidak sampai 24 jam selepas diserbu.

Teng berkata kerajaan Selangor juga sedang mengkaji keperluan anggota penguatkuasaannya dibekalkan dengan senjata perenjat elektrik bagi melindungi mereka semasa bertugas.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan penggubalan undang-undang tersebut kepada pemberita kemudian, Teng berkata kuasa yang ada pada PBT sekarang hanya menerusi undang-undang kecil bagi menangani masalah kafe siber tidak berlesen dan tindakan terhad kepada kompaun. -BERNAMA

Artikel Lain