suria

Calon SPM Maut Digilis Lori

PASIR MAS: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu, Tumpat maut setelah digilis sebuah lori muatan pasir dalam kemalangan di Kampung Teliar, Bunut Susu di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliludin Rahim berkata dalam kemalangan kira-kira 12.30 tengah hari itu, Mohd Safuan Mohd Yusoff, 17, yang menunggang motosikal, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat mengelak motosikal rakannya yang berhenti mengejut menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan lalu digilis sebuah lori," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata mangsa bersama rakan-rakannya menunggang dua motosikal dalam perjalanan dari Bunut Susu ke Wakaf Baharu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. - BERNAMA

Artikel Lain