suria

Selangor Tidak Perlu Bangga Dengan Bajet Berimbang

Mohd Shamsudin Lias
Mohd Shamsudin Lias
Mohd Shamsudin Lias

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsudin Lias pada Rabu berkata kerajaan negeri itu tidak perlu berbangga dalam membentangkan bajet berimbang untuk tahun hadapan memandangkan ada negeri lain yang membentangkan belanjawan lebihan.

Sebagai contoh beliau berkata Sarawak baru-baru ini membentangkan Bajet 2014 dengan kutipan hasil RM4.94 bilion berbanding perbelanjaan sebanyak RM4.68 bilion, menjadikan bajet lebihan RM258 juta.

Di Selangor, menurut pengalaman yang lepas, bajet berimbang yang dibentangkan dari 2009 sehingga 2013 tidak bertahan lama kerana akan ada peruntukan-peruntukan tambahan dipohon semasa sidang dewan, kata Mohd Shamsuddin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2014 negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri di sini.

Sebagai contoh, pada sidang Dewan Undangan Negeri Julai lepas, sejumlah RM761.44 juta perbekalan tambahan diluluskan, merupakan penambahan sebanyak 46.7 peratus daripada jumlah Bajet 2013 pada RM1.63 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bajet 2013 meningkat kepada RM2.39 bilion, katanya.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim bangun mencelah dan menyatakan kerajaan negeri akan melihat semula bajet setiap enam bulan dan jika ada peningkatan pendapatan, barulah permohononan perbekalan tambahan dibuat. - BERNAMA

Artikel Lain