suria

Rundingan Penstrukturan Semula Industri Air Selangor Buntu

Teng Chang Kim
Teng Chang Kim
Teng Chang Kim

SHAH ALAM: Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor masih tidak dapat dimuktamadkan berikutan pendirian berbeza antara kerajaan negeri dan pusat dalam menentukan nilai tawaran bagi mengambilalih empat syarikat konsesi air.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata kerajaan negeri berpendapat pengambilalihan berdasarkan konsep 'willing buyer' dan 'willing seller' seperti dikehendaki kerajaan pusat bertentangan dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Akta itu tidak mensyaratkan secara mutlak akan rundingan-rundingan di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat-syarikat konsesi diadakan berasaskan 'bersetuju membeli, bersetuju menjual'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, Rabu.

Teng berkata sekiranya syarikat konsesi tidak berpuas hati dengan tawaran kerajaan negeri, mereka boleh merujuk isu pertikaian mereka ke atas nilai tawaran kepada Tribunal Timbang Tara yang berpusat di London.

Katanya, rujukan kepada Tribunal Timbang Tara adalah langkah adil dan saksama dalam menyelesaikan sebarang pertikaian ke atas nilai tawaran itu.

Empat syarikat konsesi air di Selangor ialah Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) serta Konsortium Abass Sdn Bhd.

Teng berkata kerajaan negeri telah mengemukakan tawaran bagi mengambilalih kesemua syarikat konsesi air sebanyak empat kali dengan tawaran terbaharu melibatkan RM9.65 bilion pada 20 Februari tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong memberitahu dewan bahawa Selangor menerima modal pelaburan berjumlah RM1.491 bilion dari pelabur China bagi tempoh 2010 hingga Ogos lepas. - BERNAMA

Artikel Lain