suria

Rompak Kedai Emas: Rakan Pengawal Keselamatan Tukar Pengakuan Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Selepas pengawal keselamatan warga Filipina semalam menukar pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan merompak kedai emas tempat dia bekerja, pada Rabu rakan senegaranya turut menukar pengakuan terhadap pertuduhan menyimpan harta curi.

Di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Hussin Jalain, 29, menukar pengakuan kepada tidak bersalah menyimpan dua utas rantai emas bernilai RM3,000, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hussin yang tidak diwakili peguam turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam kali sebatan.

Dia yang merupakan pengawal keselamatan di premis lain, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di restoran makanan segera KFC di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, pada 8.30 pagi, 3 November lepas.

Mahkamah menetapkan 23 Dis untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa. Pada Jumaat lalu, Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan hari ini untuk jatuh hukum selepas Hussin mengaku bersalah.

Semalam rakannya, Rakib Asla, 27, pengawal keselamatan di kedai emas Tomei Gold & Jewellery menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap pertuduhan merompak 93 utas rantai emas dengan mengacukan pistol jenis Revolver .38 special model Arminius kepada pengurus kedai emas itu, L. Robert, 52, di LotG-53 KL Festival City, Taman Danau Kota, Setapak, di sini, 31 Oktober lepas. -BERNAMA

Artikel Lain