suria

Pemuda PAS Kini Tidak Lagi Didominasi Golongan Ustaz Semata-mata

Khairil Nizam
Khairil Nizam
Khairil Nizam

PETALING JAYA: Penyertaan ramai golongan profesional yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi dalam sayap parti itu mencerminkan yang generasi muda PAS bukan sekadar didominasi oleh golongan ulama atau ustaz.

Salah seorang daripada mereka ialah calon untuk jawatan naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin, 34, yang merupakan seorang jurutera yang kini berkhidmat dengan salah sebuah firma kejuruteraan luar negara.

Pada pemilihan Dewan Pemuda PAS yang akan berlangsung pada Khamis, enam daripada tujuh yang dicalonkan bertanding bagi mengisi jawatan ketua, timbalan ketua dan naib ketua mempunyai latar belakang yang pelbagai dalam bidang profesional dan bukannya dalam bidang pengajian Islam.

Wakil tunggal kumpulan ulama yang mencuba nasib bertanding bagi jawatan timbalan ketua Dewan Pemuda PAS ialah Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada pemilihan kali ini, Khairil Nizam yang juga seorang jurutera di syarikat minyak dan gas antarabangsa berhadapan saingan satu lawan satu dengan peguam, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

"Jadi jangan risau mengenai sama ada yang dipilih itu adalah profesional ataupun ulama kerana keenam-enam kami (calon golongan profesional) yang bertanding sudahpun sedia maklum tentang polisi parti dan juga perjuangan parti," katanya kepada mStar Online.

Jawatan naib ketua terbuka untuk dipertandingkan berikutan kekosongan yang ditinggalkan penyandangnya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob yang bertanding untuk jawatan timbalan ketua.

Khairil berkata, kepimpinan pemuda perlu menjadi platform ke arah menyediakan kumpulan barisan kepimpinan yang cekap.

"Kita perlu ada kumpulan ahli dan pemimpin yang berbakat. Pemuda perlu sediakan pemimpin yang kompeten kerana kita berhadapan dengan cabaran yang begitu besar.

"Jadi masa yang ada perlu digunakan untuk mantapkan organisasi pemuda disamping memberi kayakinan kepada rakyat tentang kemampuan Pemuda PAS dan parti ini untuk dijadikan alternatif," katanya.

Mengulas mengenai peluangnya pada pemilihan kali ini, ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau menyifatkan saingan yang dihadapinya hanya sebagai 'pertandingan antara adik beradik'.

Menurut beliau, hubungan yang baik dengan lawannya, Ahmad Zamri yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS menyebabkan masing-masing lebih menyerahkan nasib mereka kepada perwakilan untuk membuat penilaian.

"Bila saya dicalonkan, perkara ini tidak jadi seperti pertandingan lagi, ia lebih kepada 'friendly match' hanya memeriahkan suasana demokrasi dalam Pemuda PAS.

"Kami pun tidak berkempen dan kalau ditanya mengenai peluang, saya tidak membuat culaan pun mengenainya. Kalau menang...menanglah, kalau kalah pun kita kerja macam biasa juga," katanya.

Khairil yang juga Bendahari Pemuda PAS Pusat berkata, beliau berjanji untuk memacu sayap parti itu bagi mencapai agenda '3K' iaitu kukuhkan asas perjuangan, karisma dalam kepimpinan dan komited meningkatkan kecemerlangan.

"Moto yang mendokong agenda saya ialah fundamental, kontemporari dan futuristik.

"Ketiga-tiga elemen ini membawa maksud fundamental dalam asas perjuangan, kontemporari dalam pendekatan dan futuristik dalam berstrategi. Saya bawakan agar sentiasa segar di hati pemuda dan rakyat Malaysia," katanya lagi.

PROFIL IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN:

> Umur: 34.

> Status: Berkahwin. Seorang isteri, enam orang anak.

> Pendidikan:

- Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP).

- Ijazah Sarjana Kejuruteraan, UTP.

> Jawatan dalam PAS:

- Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

- Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat.

Artikel Lain