suria

Lantikan Exco Daripada MCA Diumum Selepas Sidang DUN Melaka 30 November - Idris Haron

Ketua Menteri Datuk Idris Haron (dua, kiri) menerima kunjungan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (dua, kanan) di pejabatnya di Melaka, Rabu. Turut kelihatan Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo (kanan). -fotoBERNAMA

MELAKA: Pelantikan anggota exco kerajaan negeri Melaka daripada anggota dewan undangan negeri (Adun) MCA akan diumum selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka 30 November ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

"Ada dua kekosongan exco sama ada kami nak beri kedua-duanya (untuk MCA), atau satu sahaja, ataupun lantik satu kemudian satu lagi pada masa akan datang, itu adalah atas budi bicara Ketua Menteri Melaka," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Melaka mempunyai tiga Adun daripada MCA iaitu Datuk Lai Meng Chong (Machap), Datuk Ng Choon Koon (Bemban) dan Lim Ban Hong (Klebang).

Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di pejabatnya yang antara lain membincangkan resolusi parti itu tentang penerimaan jawatan peringkat negeri.

MCA meluluskan resolusi membenarkan anggotanya menerima pelantikan peringkat kerajaan negeri pada mesyuarat agung luar biasa parti itu pada 20 Okt lepas dan ia membuka peluang kepada Adun parti itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri.

Melaka kini mempunyai lapan anggota exco iaitu tujuh daripada Umno manakala seorang daripada MIC iaitu Pengerusi MIC negeri Datuk M.S Mahadevan. Barisan exco sebelum ini mempunyai dua wakil daripada MCA.

Idris berkata MCA telah menyampaikan surat rasmi berkenaan penerimaan jawatan peringkat negeri pada pertemuannya dengan Dr Chua hari ini dan parti itu turut memberikan cadangan tentang siapa yang perlu dilantik ke jawatan itu.

"Beliau (Dr Chua) turut menyatakan segala prosedur serta resolusi parti itu dengan terperinci disertakan dengan segala 'paperwork' (kertas kerja) yang perlu saya teliti juga fahami sebelum melantik exco...saya amat berterima kasih kepada beliau dan MCA kerana memberi kerjasama yang amat baik dengan kami," katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata akan berlaku rombakan kecil terhadap barisan exco sedia ada terutama melibatkan portfolio exco. - BERNAMA

Artikel Lain