suria

Dua Suspek Kes Culik Freddie Joseph Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu rumah keluarga Freddie Joseph, kanak-kanak lelaki Britain yang dilarikan di Bangsar, 8 November lepas, dan teman lelakinya dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata kedua-dua mereka ditahan 10 November lepas di Jalan Klang Lama, dekat sini, untuk membantu siasatan kes culik itu.

"Polis telah mengambil keterangan daripada kedua-dua suspek yang berumur 39 dan 53 tahun itu, bagaimanapun siasatan masih diteruskan.

"Setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenai kes itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Pada sidang akhbar itu, polis menunjukkan kepada pemberita hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran Joseph berhubung insiden penculikan itu.

Rakaman berdurasi lapan minit itu menunjukkan seorang lelaki keluar daripada kereta Toyota Camry putih meluru masuk ke dalam perkarangan rumah Joseph di Jalan Terasek, di sini.

Di situ, berlaku pergelutan antara ibu Joseph iaitu Sarah, suspek berkenaan kemudiannya menyerahkan Joseph kepada rakannya yang menunggu di dalam kereta diletakkan di hadapan rumah Joseph.

Beberapa jiran yang ternampak insiden itu cuba untuk menghentikan suspek manakala ibunya terseret ketika merebut Joseph dan suspek berjaya melarikan diri.

Pada 8 Novembe lepas, Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu dilarikan seorang lelaki dan wanita di rumahnya di Jalan Terasek, Bangsar, ketika ibunya masuk ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah mereka.

Kanak-kanak itu kemudian dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa, di sini. BERNAMA

Artikel Lain