suria

Polis Johor Yakin Selesai Isu Maklumat Cuti Mingguan Bocor

JOHOR BAHARU: Polis yakin dapat menyelesaikan isu kebocoran kandungan dan penyebaran Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berhubung cadangan mengubah cuti mingguan negeri.

Ini berikutan rampasan 11 telefon bimbit baru-baru ini, dan penerimaan tiga laporan dari pelbagai pihak berhubung kebocoran dan penyebaran berkenaan, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada Selasa.

Beliau berkata polis sudah merakamkan dua percakapan sehingga ini.

"Belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan saya sudah arahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan untuk menyegerakan siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Mohd Mokhtar sehubungan itu menggesa mana-mana pihak terutama penjawat awam supaya tidak sewenang-wenang memuat naik dokumen rahsia kerajaan ke laman-laman sosial dan mematuhi peraturan seperti yang ditandatangani menerusi ikrar perkhidmatan awam.

Sejak awal minggu lepas, berita tentang pertukaran hujung minggu negeri Johor dari hari Ahad ke Jumaat berkuatkuasa pada Januari tahun depan mula tersebar di laman sosial tanpa ada sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu oleh kerajaan negeri.

Lebih memeranjatkan apabila gambar dokumen sulit mengenai perkara itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 turut dimuat naik dalam laman sosial itu bagi menyokong berita berkenaan.

Sementara itu, dalam kes lain, Mohd Mokhtar meminta kerjasama orang ramai bagi membantu polis mengesan sembilan suspek yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan 27 kes pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, tahun ini.

Beliau berkata mereka adalah Marie a/l Subramaniam, kad pengenalan bernombor 771213-01-5341 dan beralamat di 21, Jalan Mutiara 3, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram; Sulaiman Mohd Rahim (840603-01-6039) beralamat di Belakang Stesen Minyak Shell, Ulu Tiram; Reubenraja a/l Rajandran (930303-01-6319) beralamat di 18, Jalan Mutiara, Taman Mutiara, Ulu Tiram; serta Murugan a/l Rajagopal (900107-01-6381) beralamat di 5, Jalan Titiwangsa, Taman Bukit Tiram.

"Turut dicari, Ungku Abdul Halim Shah Ungku Mohamed (760122-01-6919) beralamat di 20, Jalan Emas 1, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram; Vasanthan a/l Alagamalai (780801-01-6433) beralamat di 6, Jalan Keris 11, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram; Mohammad Ridzwan Siva Kumar Abdullah (690513-01-6425) beralamat di 65, Jalan EJ 1/12, Taman Ehsan Jaya Johor Baharu; Krishnan a/l Subramaniam (820421-01-6865) beralamat di A-86, Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram; serta Shamuga Nathan a/l Rajadurai (790903-01-6265) beralamat di lot 10, Seksyen 10, Jalan Bukit, Kajang, Selangor," katanya. BERNAMA

Artikel Lain