suria

Pelantikan Sebagai Duta Bukan Imbuhan Politik - Zahrain

Zahrain Mohamed Hashim
Zahrain Mohamed Hashim
Zahrain Mohamed Hashim

JAKARTA: Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pengalaman beliau sebagai ahli perniagaan, ahli korporat dan ahli politik merupakan aset cukup berharga bagi membantu tugas baharunya sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia.

Sambil menolak anggapan banyak pihak di Malaysia kononnya pelantikan beliau merupakan imbuhan politik, Zahrain yang secara rasmi menjalankan tugas sebagai Duta Besar mulai Selasa, berkata tugas itu merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang penuh dengan cabaran.

"Pelantikan saya tidak harus dipersoalkan sebab saya percaya dalam membuat keputusan untuk menghantar saya sebagai Duta Besar di sini, saya yakin dan percaya banyak perkara telah diambil kira oleh kerajaan.

"Menjadi seorang Duta Besar ini bukan hanya apa yang disebut 'wine and roses' (kegembiraan atau kebanggaan)...kita mesti lakukan (tugas) dengan penuh tawaduk sebab kita di negara orang dan kita ingin mendapat kepercayaan daripada rakyat negara itu," katanya dalam satu temu bual di sini.

Zahrain, bekas anggota Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang dari parti PKR yang kemudiannya keluar parti dan menjadi anggota Parlimen Bebas pada penggal Parlimen sebelum ini, pada petang ini menyerahkan watikah tauliah pelantikannya sebagai Duta Besar kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, di Istana Merdeka di sini.

Beliau pada 2 Oktober lalu menerima watikah tauliah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Zahrain, sebelum ini juga merupakan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Pengerusi Hongkew Holdings Sdn Bhd dan juga penaung kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pembangunan Kaum India Pulau Pinang, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Islam.

Duta Besar Malaysia itu berkata beliau yakin pengalamannya sebagai ahli perniagaan, ahli korporat dan ahli politik menjadi nilai tambah kepada beliau dalam menggalas cabaran baharunya sebagai seorang diplomat di sini.

"Dalam bidang diplomasi ini, bukan hanya protokol yang kita bincang, tetapi banyak perkara berkenaan dengan perniagaan, pelaburan, perdagangan dan hubungan," katanya.

Zahrain meminta semua pihak agar jangan hanya melihat latar belakang beliau sebagai ahli politik tetapi semua pengalaman dalam bidang-bidang yang beliau telah ceburi itu yang akan banyak membantunya dalam bidang diplomatik.

"Saya tidak menafikan bahawa saya orang baharu, tapi saya mendapat sokongan, dorongan staf yang saya telah berkenalan di Kedutaan Besar dan rakan-rakan di Wisma Putra yang telah memberi tunjuk ajar dan tips yang baik, untuk saya berkhidmat sebagai seorang diplomat," katanya.

Mengenai hubungan dua hala, Zahrain menyifatkan hubungan erat yang sedia terjalin antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono adalah sungguh mesra.

Namun beliau tidak menafikan bahawa isu remeh temeh memang berlaku kerana Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak perkara seperti persamaan dari segi bahasa, budaya dan agama serta sempadan bersama, tetapi apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah itu dengan cara yang terbaik.

Beliau kini membuat persiapan untuk acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia, yang telah dipersetujui pada 19 Disember di Bogor apabila Najib dan Yudhoyono akan sekali lagi berpeluang duduk semeja berbincang isu-isu yang masih tertunggak antara kedua-dua negara.

Satu daripada perkara penting akan dilihat oleh kedua-dua negara ialah usaha meningkatkan jumlah perdagangan, dengan Malaysia dan Indonesia telah menetapkan sasaran untuk mencapai angka AS$30 bilion menjelang tahun 2015. Jumlah perdagangan dua hala pada tahun lalu ialah AS$20 bilion dan pada tahun ini dijangka mencapai AS21 bilion.

Dalam usaha untuk menambah jumlah perdagangan dan meningkatkan jumlah pelaburan dua hala itu, Zahrain berkata beliau akan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk memantapkan jaringan supaya hubungan erat antara kedua-dua negara bukan hanya di peringkat pegawai kerajaan atau menteri kabinet, malah juga di peringkat ahli perniagaan.

Satu lagi bidang yang akan diberikan tumpuan oleh Zahrain ialah pelancongan kerana pada hari ini Indonesia sudah menjadi pelanggan Malaysia yang ketiga terbesar selepas Singapura dan China dan sehubungan itu usaha sedang digiatkan untuk menarik lebih ramai pengunjung dari Indonesia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Untuk tujuan itu, usaha sedang dibuat untuk menambah jumlah penerbangan dari beberapa bandar utama di Indonesia dan Malaysia termasuk usaha syarikat Malaysia Airlines (MAS) menambah hak pendaratan di Surabaya dan Yogyakarta. MAS pada masa ini hanya terbang ke Jakarta, Bali dan Medan, manakala Firefly terbang ke Aceh, Medan, Pekan Baru dan Batam, destinasi yang lain adalah oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Tidak kurang pentingnya juga, kata Zahrain ialah tumpuan beliau kepada usaha meningkatkan lagi hubungan media antara kedua-dua negara kerana beliau berpendapat media merupakan rakan kongsi penting dalam soal hubungan dua hala.

Ini kerana objektifnya adalah sama iaitu untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan benar kepada pembaca atau masyarakat, bagi mengelakkan sesuatu berita itu diputarbelitkan dan untuk tujuan itu beliau bersedia untuk bercakap kepada media terutamanya bila ada isu yang timbul.

Beliau juga berharap tidak ada pihak datang ke Indonesia untuk memfitnah dan memburukkan Malaysia dan menasihatkan mereka yang ada hasrat sedemikian supaya tidak melakukannya, terutamanya bagi mengelakkan perbuatan itu sampai ke tahap mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada negara. BERNAMA

Artikel Lain