suria

Pelaksanaan Hukum Hudud Perlu Diteliti Secara Menyeluruh - Shafie Apdal

PUTRAJAYA: Pelaksanaan hukum hudud harus diteliti secara menyeluruh kerana sebaik sahaja menjadi perlembagaan dan undang-undang, ia harus dilaksanakan dengan baik, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sambil menyarankan hukum hudud dilaksanakan terlebih dahulu di semua negeri di bawah pentadbiran pembangkang, beliau berkata PAS tidak harus meletakkan bebanan pelaksanaan hukum hudud kepada kerajaan pusat.

Seharusnya pakatan pembangkang sudah berpakat mengenai hal ini dan melaksanakannya di negeri-negeri yang mereka terajui, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Sinergi Perdana Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif produk cuka getah Hiska keluaran Hiska Sinergi Sdn Bhd di sini Selasa.

"PAS melaungkan mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam namun di dalam manifesto Pakatan Rakyat yang lalu langsung tidak disebut mengenai hukum hudud, sebaliknya meminta kerajaan untuk campur tangan dalam hal ini.

"Mereka (PAS) meletakkan bebanan pelaksanaan hukum hudud ini kepada kerajaan, dan sepatutnya mereka memperincikan dahulu mengenai perkara ini di setiap negeri di bawah mereka termasuk Pulau Pinang dan bukan hanya dilaksanakan di Kelantan," katanya.

Mohd Shafie mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad pada Rabu lepas bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 jika kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang itu.

"Dalam bab agama, kuasa-kuasa tertentu telah diberikan di peringkat negeri-negeri. Namun kita juga perlu meneliti terlebih dahulu kesan perundangan (hukum hudud) di peringkat persekutuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan mini Karnival Usahawan Desa (KUD) akan diadakan di setiap zon di seluruh negara pada tahun hadapan.

"Penganjuran mini karnival ini adalahberdasarkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap penganjuran KUD 2013 baru-baru ini," katanya.

Menteri itu turut memaklumkan Kolej Risda akan dinaik taraf kepada kolej universiti yang akan dikenali sebagai Kolej Universiti Agrosains tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Lain