suria

Bedah Siasat Mayat Warga Taiwan Esok - Polis

KOTA KINABALU: Bedah siasat mayat lelaki warga Taiwan yang ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Pom Pom, Semporna, Jumaat lalu akan dilaksanakan pada Rabu di Hospital Tawau, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Hamza berkata mayat Hsu Li Min, 57, sudah dicam anggota keluarganya di Hospital Tawau dan mayatnya akan diserah kepada anggota keluarganya sebaik sahaja bedah siasat selesai.

"Anggota keluarga mangsa akan tinggal beberapa hari di sini untuk membantu siasatan kita," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil kepada peserta Kembara Bermotosikal "Crime Awareness" 2013 di sini, Selasa.

Hamza bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes penculikan rakyat Taiwan itu kerana tidak mahu ia menjejas siasatan namun berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina dalam siasatan kes berkenaan.

Jumaat lalu, Hsu Lin Min dijumpai mati di dalam sebuah bilik di pulau peranginan Pom Pom dengan dua kesan tembakan di dadanya manakala teman wanitanya, Chang An Wei, diculik, oleh kumpulan bersenjata dipercayai anggota Abu Sayyaf. BERNAMA

Artikel Lain