suria

Pengawal Keselamatan Maut Motosikal Dirempuh Kereta

KEPALA BATAS: Seorang pengawal keselamatan sebuah bank maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Permatang Tok Loba, di sini, Isnin.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian 12.25 tengah hari itu, mangsa Zull Sazali Abdullah, 51, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di bahagian kepala selepas terpelanting beberapa meter akibat kejadian itu. "Difahamkan mangsa yang baru habis bekerja di sebuah bank di Taman Inderawasih, Butterworth dalam perjalanan ke pekan Kepala Batas iaitu tidak jauh daripada tempat kejadian bagi menjelaskan bayaran ansuran motosikalnya. "Dipercayai kereta yang melanggar mangsa dipandu laju dan dalam perjalanan ke Kepala Batas. Pemandu berkenaan merempuh motosikal mangsa dari belakang sehingga dia terpelanting beberapa meter," katanya kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Polis menahan pemandu kereta berusia 30-an itu untuk membantu siasatan.

Mayat Zull Sazali dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain