suria

Kes Culik Di Semporna: Keluarga Mangsa Dijangka Tiba Minggu Ini

SEMPORNA: Ahli keluarga pelancong warga Taiwan, Hsu Li Min, 57, yang ditembak mati di Pulau Pom Pom di sini, dijangka tiba di Tawau pada Selasa.

Mereka dijangka mengadakan upacara pembakaran mayat Hsu pada hari yang sama.

Hsu ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang ada kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang menculik isterinya, Chang An Wei, 58, dari resort tersebut kira-kira pukul 1 pagi Jumaat lepas.

Mayat Hsu disimpan di bilik mayat Hospital Tawau dan bedah siasat akan dilakukan sebelum proses pembakaran mayat.

Menurut wartawan Taiwan di sini, keluarga Hsu akan tiba lebih awal pada Selasa diikuti keluarga Chang, Jumaat ini.

Mereka berkata, kedua-dua keluarga itu juga akan berlepas ke Pulau Pom Pom untuk mengambil barang milik pasangan tersebut.

Apabila polis menjumpai mayat Hsu, beg pasangan tersebut dilihat berada dalam keadaan kemas dan peti keselamatan mereka terkunci di resort itu.

Difahamkan pasangan tersebut menyimpan pasport milik mereka di dalam peti keselamatan itu.

Tiada tuntutan wang tebusan dibuat setakat ini dan kumpulan bersenjata itu dipercayai melarikan Chang merentasi sempadan Pulau Tawi Tawi di selatan Filipina.

Hsu dan Chang yang merupakan pengeksport pakaian di China, mendaftar masuk di chalet pulau itu pada 12 November dan dijangka mendaftar keluar pada 20 November ini.

Pasangan itu tidak dikurniakan anak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain