suria

Kematian Kanak-Kanak Tiga Tahun: Ibu Tunggal Ditahan Reman

KUALA TERENGGANU: Ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dengan beberapa kesan kecederaan di kepala dan badan, dipercayai didera, ditahan reman empat hari mulai hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ibu tunggal yang berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas selesai pengkebumian anaknya di Pasir Mas, Kelantan.

"Suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama.

Jumaat lalu Putri Nur Qistina Balqis dari Kampung Seberang Jerteh disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam.

Manoharan berkata bedah siasat di Hospital Kemaman mendapati ada kesan kecederaan pada tempurung kepala dan abdomen mangsa akibat terkena benda tumpul.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa didera, jatuh atau sebaliknya. Jika kanak-kanak ini jatuh juga akan mengakibatkan kecederaan seperti itu," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah merakam beberapa percakapan saksi termasuk jiran serta keluarga angkat ibu kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain