suria

Kastam Perak Rampas Minuman Keras & Rokok Elak Cukai Bernilai RM1.35 Juta

TAIPING: Kastam Diraja Malaysia Perak merampas 4,063 kotak minuman keras pelbagai jenama dan 1.42 juta rokok bernilai RM538.736.80 membabitkan cukai keseluruhan sebanyak RM1.35 juta, dalam empat kes berasingan di sekitar Ipoh dan Selangor, minggu lepas.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan lima individu, namun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan di bawah Seksyen 116 Akta Kastam 1967.

Dalam kes pertama, beliau berkata sebanyak 53 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM3,748.80 melibatkan cukai RM9,446.78 dirampas kerana disyaki menggunakan pelekat setem cukai palsu, dalam serbuan di sebuah kedai runcit di bandaraya Ipoh, pada 7 November lepas.

"Dalam Ops Bersepadu antara agensi penguatkuasaan Perak termasuk polis, Rela dan KPDNKK kira-kira pukul 10 pagi turut menahan seorang lelaki berada di dalam premis tersebut," katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam cawangan Penguatkuasaan Taiping di sini, Isnin.

Pada hari yang sama pihaknya turut menyerbu sebuah restoran di kawasan Bercham dekat Ipoh di sini, dan merampas 400 batang rokok putih tidak lulus kastam yang dianggarkan berjumlah RM20 melibatkan cukai sebanyak RM198.40.

Katanya seorang pemilik premis ditahan untuk membantu siasatan dan kemudian dibebaskan sementara.

Dalam kes ketiga, Kastam cawangan Penguatkuasaan Teluk Intan berjaya merampas 1,422,600 batang rokok putih pelbagai jenama dalam sebuah MPV yang terletak di sebuah rumah di taman perumahan di Sungai Besar, Selangor pada pukul 10 pagi, Selasa lepas.

"Kesemua rokok itu ditaksirkan bernilai RM206,486 dengan cukai RM727,802.16," katanya.

Dalam kes terbaru, Jumaat lepas, Mohd Nasir berkata Kastam cawangan Penguatkuasaan Taiping telah menyerbu sebuah gudang di kawasan Menglembu dekat Ipoh, kerana disyaki menyimpan minuman keras pelbagai jenama secara tidak sah.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 4,063 kotak minuman bernilai RM328,482 melibatkan cukai RM616,898.78 belum lulus kastam disimpan di dalam gudang tersebut," katanya tiga lelaki ditahan untuk membantu siasatan. Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata seorang lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan kerana membawa nilai mata wang haram pelbagai negara berjumlah RM58,000.

Katanya lelaki itu ditahan di dalam sebuah kereta mewah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen Bukit Berapit dekat Pengkalan Hulu pada pukul 9.30 pagi semalam.

"Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain