'Kami Nikmati Percutian Menyeronokkan, Usah Bimbang' - SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik - Semasa | mStar

'Kami Nikmati Percutian Menyeronokkan, Usah Bimbang' - SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik

GEORGE TOWN: Tiga jam sebelum diculik, pelancong wanita warga Taiwan, Chang An Wei menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya bahawa dia berada dalam keadaan selamat.

"Kami sedang menikmati percutian yang menyeronokkan di pulau ini. Tolong beritahu ibu, kami akan berhati-hati dan jangan bimbang," katanya dalam mesej bahasa Mandarin.

Chang abang sulung, Da Gong berkata adiknya telah menghantar SMS berkenaan pada pukul 10.17 malam, Khamis lalu.

Chang, 58, diculik oleh kumpulan bersenjata pada pukul 1 pagi Jumaat selepas mereka menembak mati suaminya, Hsu Li Min, 57, ketika mereka sedang bercuti di Pulau Pom Pom, berhampiran perairan Semporna, Sabah.

Da Gong memberitahu Apple Daily di Taiwan bahawa keluarga mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menyediakan wang tebusan sekiranya diminta oleh kumpulan penculik berkenaan.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Da Gong dilaporkan berkata kepada akhbar berkenaan bahawa polis Taiwan telah memberitahu mereka supaya tidak menghubungi atau menghantar SMS sekiranya mereka menerima sebarang mesej atau panggilan telefon daripada kakaknya.

Dia dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, Selasa ini bersama-sama dengan keluarga Hsu untuk membawa pulang mayat mendiang.

Dalam insiden yang berlaku awal pagi Jumaat lalu, kumpulan bersenjata yang tidak dikenali menyerbu tiga daripada lima vila atas air sebelum mereka menembak mati Hsu dan menculik Chang.

Hsu dan Chang mendaftat masuk di resort berkenaan pada Selasa dan dijadual mendaftar keluar pada Rabu.

Abang Hsu, Li Ren berharap pihak berkuasa dapat melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan Chang.

"Dia tidak mati lagi, tolong lakukan apa sahaja demi menyelamatkan dia," katanya kepada Liberty Times.

Li Ren berkata abangnya mungkin dibunuh kerana dia memiliki tubuh badan yang sasa.

Dia berkata kumpulan bersenjata itu mungkin melepaskan tembakan kerana mereka bimbang tidak dapat menewaskan Li Min, yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter dengan berat kira-kira 100 kilogram.

Li Ren berkata dia akan membawa bersama anak saudara lelakinya yang telah dianggap seperti anak kepada si mati ke Malaysia sebelum membawa pulang abu mayat Hsu.

Mengenai laporan yang mendakwa pasangan tersebut belum berkahwin, Li Ren berkata pasangan berkenaan telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka di China dan bukannya di Taiwan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keadilan Taiwan, Chen Ming-Tang berkata beliau telah meminta jabatan berkaitan membantu keluarga mangsa yang terjejas dengan insiden berkenaan.

Beliau berkata setiap warga Taiwan yang meninggalkan negara itu dengan dokumen perjalanan yang sah namun menghadapi malapetaka boleh memohon bantuan kewangan sehingga, TWD200,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.