suria

Jabatan Kesihatan Beri Amaran Kepada Pengeluar Produk Kesihatan Berkaitan Diabetes

KOTA BAHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memberi amaran kepada pengeluar produk kesihatan terutamanya produk untuk menyembuhkan penyakit diabetes supaya berhenti memberi harapan kepada penghidap penyakit berkenaan mengenai keberkesanan produk keluaran mereka.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata ini berdasarkan iklan yang mereka keluarkan melalui testimoni yang dilakukan dan memberi keyakinan kepada pengguna untuk mencuba.

"Kalau betul produk berkenaan berkesan untuk mengubati penyakit, kita harap mereka datang ke Jabatan Kesihatan dan kita buat kajian tentang produk tersebut. "Sekiranya produk tersebut berkesan kita sendiri (Jabatan Kesihatan) akan mempromosikan produk mereka ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keselamatan Makanan Negeri Kelantan 2013 di sini, Isnin.

Beliau menasihati penghidap diabetes supaya membuat rawatan secara berkala dan berterusan bagi mencegah penyakit yang disebabkan diabetes seperti kebutaan, buah pinggang dan jangkitan kuman.

"Kita berharap sekiranya ada komplikasi lain kita dapat kesan awal dan memberi rawatan secara berkala," katanya.

Dr Ahmad Razin berkata orang ramai juga dinasihati tidak mengambil mudah mengenai kesihatan dan sering melakukan ujian saringan bagi mengesan penyakit diabetes. "Mereka mesti selalu membuat saringan gula dalam darah dan kalau mereka sudah disahkan oleh doktor mengenai penyakit hendaklah kekal setia dengan rawatan yang diberi," katanya.

Mengenai produk makanan dari negara luar yang memasuki pasaran negara ini dengan menggunakan pelabelan selain bahasa Malaysia, beliau berkata pengguna perlu berhati-hati terhadap risiko sesuatu produk berkenaan.

"Pengguna perlu tahu tentang pentingnya pelabelan makanan, kandungan produk serta cara pengambilan sesuatu produk dan sekiranya ia menggunakan bahasa lain selain Bahasa Malaysia, bagaimana kita hendak mengetahuinya," katanya.

Katanya pengguna juga perlu tahu bahawa setiap produk yang dipasarkan juga hendaklah mempunyai nama syarikat pengeksport serta kandungan bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain