suria

Semua Anggota Rela Rakyat Tempatan - Ketua Pengarah

HULU TERENGGANU: Ketua Pengarah Pasukan Relawan Malaysia (Rela) Datuk Mustafa Ibrahim pada Ahad menegaskan semua anggota pasukan itu adalah warga tempatan.

Ini kerana kata beliau pihaknya sentiasa memastikan pemohon yang ingin menyertai pasukan itu mempunyai MyKad yang sah, selain melakukan saringan yang ketat.

"Anggota Rela ini bukan saja memiliki kad pengenalan yang tulen tetapi bersih daripada sebarang rekod jenayah bagi mengelakkan masalah di kemudian hari," katanya kepada pemberita selepas Penutupan Ujian Kemahiran Menembak Rela Peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Rela Wilayah Timur, di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan ada warga asing menjadi anggota Rela menggunakan kad pengenalan yang diubah suai.

"Dakwaan itu tidak dibuktikan secara jelas dan kita juga tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara berkenaan," katanya lagi.

Menurut Mustafa setiap hari kira-kira 5,000 anggota Rela ditugas membantu pihak berkuasa lain menjaga kawasan sasaran termasuk pintu masuk utama negara dan lapangan terbang kecil di Sabah dan Sarawak selain di stesen minyak bagi mencegah penyeludupan.

Mengulas perkara berkaitan, Mustafa meminta kerajaan mempertimbang cadangan anggota Rela bertugas sebagai pengawal keselamatan di agensi kerajan dan korporat.

Kami menerima banyak permintaan terutama dari sektor korporat yang berminat menggunakan khidmat anggota Rela sebagai pengawal keselamatan di syarikat masing-masing, katanya.

Menurut Mustafa setakat ini pasukan itu mempunyai hampir tiga juta anggota. - BERNAMA

Artikel Lain