suria

Pemandu Lori, Kanak-Kanak Maut Dalam Kemalangan

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori dan seorang kanak-kanak berumur 4 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Ranau, kira-kira 108km dari sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah DSP Abd Rahman Kassim berkata pemandu lori tersebut dikenalpasti sebagai Jai Dullah, 27, dan kanak-kanak tersebut Marcella Christianus, penumpang kereta Kancil, antara tiga kenderaan yang dirempuh oleh lori terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, pemandu lori yang sedang membawa muatan baja dari Kota Kinabalu ke Sandakan, hilang kawalan lalu merempuh kenderaan Toyota Hilux, Kembara dan Kancil sebelum terjunam ke dalam Sungai Liwagu, Ranau.

"Pemandu lori meninggal di tempat kejadian dan kanak-kanak tersebut meninggal di Hospital Ranau," kata Abd Rahman ketika dihubungi di sini.

Abd Rahman juga berkata tiga orang cedera parah dalam kemalangan itu iaitu dua penumpang lori terbabit, yang merupakan adik kepada pemandu lori berumur 15 dan 10 tahun, dan bayi berumur 6 bulan yang menumpang kereta Kancil.

Lapan orang lagi iaitu empat dari kereta Kembara dan empat termasuk pemandu dari kereta Kancil mengalami cedera ringan. Pemandu Toyota Hilux pula melarikan diri dari tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Lain