suria

Najib Garis Empat Nilai Kepentingan CHOGM

COLOMBO (Sri Lanka): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat nilai yang mengekalkan kepentingan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) kepada anggotanya, yang antaranya dapat dimanfaatkan untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan pada dasar-dasar domestik negara masing-masing.

Menyifatkan CHOGM 2013 di Sri Lanka berjaya, Najib berkongsi empat nilai itu dengan media antarabangsa dan Malaysia pada dua sidang media berasingan pada hari terakhir persidangan itu pada Ahad.

Empat nilai itu ialah:

* Penghayatan terhadap nilai asas Komanwel;

* Tema CHOGM yang boleh dimanfaatkan negara-negara anggota;

* CHOGM menjadi pembekal input kepada

pelbagai mesyuarat penting lain;

* CHOGM sebagai "thought leader" (peneraju pemikiran) untuk idea.

Najib adalah antara empat pemimpin Komanwel yang diberi penghormatan untuk menyertai sidang media bersama Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Setiausaha Agung Komanwel, Kamalesh Sharma di akhir CHOGM, yang dihadiri kira-kira 200 wartawan negara-negara Komanwel termasuk Malaysia.

Tiga pemimpin lain ialah Presiden Guyana, Donald Rabindranauth Ramotar; Perdana Menteri St Kitts & Nevis, Denzil Douglas; dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.

Najib kemudian berkongsi sekali lagi empat nilai berkenaan dengan wartawan Malaysia pada sidang media berasingan sebelum beliau berlepas ke Bangladesh.

Menghuraikan nilai-nilai itu, Najib berkata CHOGM dapat mengukuhkan penghayatan negara-negara Komanwel terhadap nilai-nilai utama seperti mengekalkan prinsip dan amalan demokrasi yang baik dan hak asasi manusia. "Ini satu kelompok negara-negara yang unik berfungsi dari sejarah bersama. Walaupun negara-negara ini berlainan (diverse), kita tidak seharusnya berpecah (divided)," katanya.

Mengenai tema CHOGM seperti tahun ini iaitu "Pertumbuhan Dengan Ekuiti: Pembangunan Inklusif", ia boleh diterjemahkan dalam bentuk dasar atau polisi domestik, katanya.

"Kita boleh bertukar-tukar maklumat dan pengalaman. Dari situ kita boleh buat perubahan, penambahbaikan pada dasar-dasar dalam negara masing-masing. "Tema itu boleh dihayati, diterjemahkan untuk kebaikan rakyat negara Komanwel," katanya.

Najib berkata Komanwel boleh menjadi pembekal input kepada pelbagai mesyuarat penting lain seperti Persidangan Perubahan Iklim di Warsaw bulan ini dan Persidangan Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Bali.

"CHOGM ini selalu bersidang sebelum sesuatu persidangan yang boleh membuat keputusan. "Negara-negara Komanwel bila hadir ke persidangan-persidangan itu boleh membawa hasrat dan keputusan dalam menentukan hala tuju mesyuarat atau forum," katanya.

Najib berkata CHOGM boleh menjadi "thought leader" dalam membicarakan isu sejagat seperti isu pembangunan mapan yang pertama kali dicetuskan ketika CHOGM diadakan di Malaysia pada 1989, selain isu hutang negara kecil.

Secara keseluruhannya, Najib berkata CHOGM boleh memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dalam pelbagai isu dunia melalui inputnya seperti kepada Agenda Pembangunan Pasca 2015.

Di akhir CHOGM 2013, 'communique' atau pernyataan 21 muka surat dikeluarkan membabitkan pelbagai isu dipersetujui ketua-ketua negara Komanwel dalam mesyuarat tiga hari itu.

Antaranya mengenai pembangunan inklusif, pengagihan kekayaan secara saksama dan Agenda Pembangunan Pasca 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -BERNAMA

Artikel Lain