suria

Malaysia Beri Input Kepada CHOGM Untuk Tentukan Hala Tuju Pasca 2015

COLOMBO (Sri Lanka): Malaysia akan memberi input signifikan kepada Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Chogm), yang berhasrat untuk memainkan peranan dalam menentukan hala tuju agenda Pembangunan Pasca 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata dalam dua sesi pemukiman Chogm 2013 yang dihadirinya pada Sabtu, pertubuhan Komanwel itu berhasrat mahu memainkan peranan dalam penentuan hala tuju agenda selepas 2015, iaitu pasca berakhirnya Sasaran Pembangunan Millenium.

"Kita pasti akan memberikan input kita (kepada Chogm)," katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan pusat sehenti pemprosesan visa Malaysia Foshwa Pvt Ltd di tingkat 16, World Trade Centre di sini Sabtu.

Sebelum itu, Najib menghadiri sesi pemukiman Chogm di hotel Waters Edge, yang disifatnya berlangsung dalam suasana relaks dan tenang.

Najib berkata satu persidangan Menteri Kewangan Komanwel akan diadakan untuk menentukan agenda selepas 2015 itu.

Dalam pemukiman yang menghuraikan agenda pembangunan saksama dan inklusif, Najib berkata setiap pemimpin "saling sokong-menyokong" konsep pembangunan saksama dan inklusif yang dikemukakan.

Pelbagai cadangan dikemukakan pemimpin Komanwel mengenai pembangunan saksama dan inklusif antaranya keperluan meneruskan usaha mengurangkan kemiskinan, pembangunan projek berasaskan rakyat seperti pendidikan selain isu perubahan iklim yang disentuh, katanya.

Beliau berkata pandangannya mengenai pembangunan saksama dan inklusif yang disampaikan pada Jumaat diambilkira Chogm dan akan dirangkum menjadi sebahagian daripada Pernyataan Chogm.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu, Najib yakin Foshwa dapat mengatasi masalah kelambatan pemprosesan visa untuk pelancong dari Asia selatan melawat Malaysia.

"Bukan saja akan mengurangkan kos memproses visa, ia juga dapat mengurangkan tanggungjawab pejabat perwakilan Malaysia selain meningkatkan keberkesanan," katanya.

Najib pada majlis itu berkata Malaysia mensasarkan 28 juta pelancong untuk berkunjung ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan kira-kira 1.06 juta dari Asia selatan.

Foshwa, sebuah syarikat penyumberan luar Malaysia menerima kelulusan Kementerian Dalam Negeri untuk membuka pusat sehenti pemproses visa di Sri Lanka, India, Pakistan, Afghanistan, Bangladesh dan Nepal. - BERNAMA

Artikel Lain