suria

Kelantan Perlu Mahkamah Khas Laksana Hudud

KOTA BAHARU: Untuk melaksanakan undang-undang hudud, Kelantan perlu mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan undang-undang itu, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun kata beliau, pelaksanaannya akan mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu meneliti pelbagai perkara terutama berkaitan aspek perundangan bagi mengelakkan pertembungan.

Beliau juga berkata setakat ini perkara itu sudah dibincangkan sebanyak empat kali oleh jawatankuasa teknikal.

"...mungkin dalam bulan Disember atau Januari tahun depan kita akan adakan perbincangan lagi membabitkan pakar perundangan dan hakim-hakim serta pengamal undang-undang tentang apa yang perlu dibuat kerajaan negeri sebagai pelaksanaan awal terhadap pelaksanaan hudud," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis sambutan penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dari Kota Kinabalu ke Kota Baharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Rabu lepas, Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad dilapor berkata Mahkamah Syariah Kelantan sudah mampu menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud jika kerajaan negeri pimpinan PAS itu mahu menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Ini kerana kata Daud segala prasarana berkaitan pelaksanaan hudud sudah lengkap termasuk hakim untuk mengendalikan kes. BERNAMA

Artikel Lain