suria

Jawatan CWC Beri Peluang Berkhidmat Kepada Negara & Parti - Kamalanathan

RAWANG: Penyelaras Putera MIC Kebangsaan P. Kamalanathan berkata keputusannya untuk hanya bertanding peringkat jawatankuasa kerja pusat (CWC) dalam pemilihan parti kali ini bagi membolehkannya menjayakan agenda negara dan menaik taraf kaum India secara serentak.

Ini kerana katanya, sebagai timbalan menteri pendidikan kedua, beliau akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan agenda negara jika bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti.

Justeru, dengan bertanding peringkat CWC saya boleh memfokuskan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan pada masa sama memastikan kaum India tidak tercicir dalam pelaksanaan pelan itu, katanya di sini, Ahad.

Ketika pendaftaran pencalonan bagi pemilihan MIC yang berlangsung di ibu negara semalam, Kamalanathan antara 88 calon yang disahkan bertanding bagi mengisi 23 jawatan CWC.

Beliau sebelum ini dilapor berbelah bahagi sama ada bertanding jawatan CWC atau naib presiden.

Kamalanathan yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor ditemui pemberita dalam majlis rumah terbuka beliau sempena Deepavali yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan. -BERNAMA

Artikel Lain