suria

Ibu Kanak-Kanak Mati Di Jerteh Ditahan Untuk Siasatan

KUALA TERENGGANU: Polis menahan ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan badan, dipercayai didera, di Pasir Mas, Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata tangkapan itu dilakukan pada 4.30 petang iaitu sejurus selepas pengkebumian jenazah Putri Nur Qistina Balqis Abdullah pada Ahad.

Beliau berkata ibu tunggal berusia 23 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya Jumaat lepas. "Laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada tempurung kepala dan kesan kecederaan abdomen akibat benda tumpul pada mangsa.

"Kita masih menjalankan siasatan berhubung insiden ini dan kita tidak menolak kemungkinan mangsa didera, jatuh atau sebaliknya, kerana jika kanak-kanak ini jatuh juga akan mengakibatkan kecederaan seperti itu," katanya kepada Bernama. Putri Nur Qistina Balqis, dari Kampung Seberang Jerteh, disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam.

Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati kesan kecederaan dan lebam di dahi, pipi serta kepala.

Bagaimanapun, Manoharan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain